SARIKEI, Julai 3: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mengambil masa kira-kira sejam untuk membantu mengangkat seekor lembu yang terperangkap di dalam sebuah longkang di perkarangan Dewan Masyarakat Tanjung Manis di sini hari ini.
Lembu dewasa itu dikatakan terjatuh ke dalam longkang simen di situ sebelum haiwan tersebut tersekat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Lt(PA) Mackinly Jores berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada pukul 3.40 petang.
Katanya, apabila tiba di lokasi empat minit kemudian, anggota APM mendapati seekor lembu dalam keadaan tersekat di dalam longkang konkrit di situ.
“Anggota APM kemudian berusaha untuk mengeluarkan lembu yang terperangkap itu, namun usaha berkenaan gagal sehingga mereka mendapatkan bantuan pihak bomba.
“Anggota bomba yang tiba di lokasi turut berusaha memikirkan cara terbaik untuk mengeluarkan lembu berkenaan, tetapi gagal juga,” katanya di sini hari ini.
Mackinly menambah, mereka kemudian meminta bantuan daripada pekerja tapak pembinaan dengan menggunakan jentera berat untuk mengangkat lembu berkenaan.
Katanya, usaha itu akhirnya berjaya apabila lembu tersebut diangkat ke darat dalam keadaan selamat.
“Lembu tersebut kemudian diserahkan kepada tuannya untuk dibawa balik ke kandang.
“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.20 petang,” katanya. — DayakDaily