Lelaki yang alami masalah mental dilaporkan hilang

Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan.

Oleh Dean Adam

PAKAN, Julai 13: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke kediamannya di Rh Christina Kasun, dekat sini, sejak dua hari lepas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa yang dilaporkan hilang dikenalpasti sebagai Bunjai Sagang, 53.


Katanya, pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes itu pada 7.55 pagi.

“Berdasarkan laporan, mangsa disedari hilang sejak dua hari lalu selepas tidak balik rumah panjang.

“Mangsa kali terakhir dilihat keluar dari rumah panjang hanya berpakaian seluar pendek dan tidak berbaju,” katanya di sini, hari ini.

Mangsa dilaporkan hilang sejak dua hari lepas.

Jurucakap sama menambah, pihak bomba suda sampai di rumah panjang dan membuka Pos Kawalan Bomba (PKB) di situ.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan bersama penduduk rumah panjang bagi mencari mangsa di sekitar kawasan hutan berhampiran.

“Setakat pukul 5 petang, mangsa masih belum ditemui

“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya. — DayakDaily