Lelaki warga tempatan dicekup polis, dadah bernilai RM102,600 dirampas

Mohd Sabri (kanan) bersama Minggat menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu sidang media hari ini (19 April 2022) di Miri.
Advertisement

MIRI, 19 April: Polis pada malam Isnin (18 April) menahan seorang lelaki bersama 171 paket Jus Master mengandungi dadah jenis Ecstacy di dalam sebuah bilik hotel di Bandaraya Miri.

Menurut Timbalan ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol, suspek berusia 44 tahun itu ditangkap sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak dalam satu serbuan yang dilakukan sekitar jam 10.30 malam.

Hasil pemeriksaan ke atas bilik tersebut, pasukan polis telah menemui dan merampas sebanyak 99 paket Jus Master perisa epal disyaki campuran dadah jenis Ecstacy dengan berat kasar 3,150 gram dan 72 paket Jus Master perisa mangga (2,300 gram).

Advertisement

Berat kasar keseluruhan 5,450 gram dianggarkan bernilai RM102,600.

Hasil saringan awal polis mendapati urin suspek positif dadah jenis methamphetamine, ujar Mohd Sabri dalam satu sidang media di Miri hari ini.

Turut hadir Ketua BSJN IPD Miri ASP Minggat Bakil.

Menurut Mohd Sabri, dadah yang dirampas itu menyasarkan pasaran tempatan, terutama pusat-pusat hiburan sekitar Miri.

Suspek ditahan dan disiasat di naaah Seksyen 38B dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. — DayakDaily

Advertisement