Lelaki warga tempatan bersama teman wanita dari Cina ditahan atas tuduhan mengedar dadah

Dadah jenis methamphetamine bernilai RM 43,200.00 berjaya dirampas dalam serbuan pada pagi Rabu.

MIRI, 15 Mac: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan teman wanitanya dari negara Cina dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam satu serbuan di daerah ini pada pada Rabu (14 April).

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 29 tahun itu ditahan dipercayai mengedar dadah jenis methamphetamine (syabu).

Katanya, dalam serbuan hasil risikan itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri, diketuai Inspektor Mohamed Basheer, berjaya merampas dadah dengan nilai pasaran keseluruhan sebanyak RM43,200.00 dengan berat kasar berjumlah 1.219 kilogram.

Kedua-dua suspek itu ditahan di dalam sebuah rumah di Jalan Piasau Utara 6 sekitar jam 11 pagi.

Turut ditemui dan disita dalam operasi, sebuah kereta jenis Myvi bernilai RM35,000.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu kotak plastik berwarna hitam tertera tulisan Tactix mengandungi satu plastik biru berisi dua paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine, anggaran berat kasar 204.00 gram,” jelas Hakemal.

Pemeriksaan seterusnya menemui sebuah kotak berwarna merah tertera tulisan DT-888 yang mengandungi satu paket teh Cina warna kuning didalamnya terdapat satu plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (nnggaran berat kasar-1,015.00 gram).

Difahamkan, suspek menggunakan aplikasi WeChat bagi berkomunikasi dan melakukan penghantaran kepada pelanggan mereka di daerah ini.

“Penghantaran bekalan dadah dilakukan secara ‘drop-off’ di lokasi yang telah dijanjikan semasa urusan jual beli melalui WeChat,” katanya.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (Khamis) untuk membantu siasatan kes,” Hakemal berkata.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. — DayakDaily