Lelaki warga India dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari kapal

Anggota bomba menunjukkan lokasi mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum terus hilang.
Advertisement

SIBU, Sept 6: Seorang lelaki warga India dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah kapal di Sungai Rajang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa, Haris Kumar, 24, dikatakan terjatuh semasa hendak masuk ke sebuah kapal lain.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa dari Balai Polis Lanang untuk membantu operasi mencari mangsa.

Advertisement

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, mangsa dikatakan jatuh ketika hendak keluar dari kapal tempatnya bekerja untuk masuk ke kapal yang bersebelahan.

“Keadaan air sungai yang deras agak menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Setakat ini mangsa masih gagal ditemui dan operasi SAR akan disambung semula pagi esok,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan polis turut membantu dalam operasi SAR berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan operasi mencari mangsa masih diteruskan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement