SIBU, Mei 28: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di kawasan lampu isyarat Jalan Salim-Jalan Tun Zaidi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, mangsa, Lu Yu Kaw, 64, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Farley ke pusat bandar di sini.
Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila motosikalnya tiba-tiba terbabas lalu bertembung dengan sebuah lori.
“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan pada kepala dan badannya.
“Pemandu lori yang berusia 38 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu lori itu untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, mayat mangsa sudah dituntut oleh waris untuk urusan pengebumian.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily