Leftenan Jeneral Stephen Mundaw naik pangkat sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat

Zulkiple (kiri) memakaikan pangkat Leftenan Jeneral kepada Stephen (tengah) di Kem Muara Tuang.

KUCHING, Mei 28: Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD di Wisma Sri Kenyalang, Kem Muara Tuang di sini hari ini.

PTD memakaikan pangkat kepada Mej Jen Datuk Stephen Mundaw yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral berkuatkuasa pada Mei 28 ini yang menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Timur Tentera Darat dan Brig Jen Toh Choon Siang yang dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral berkuatkuasa pada Mei 28 menjawat jawatan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia.

Turut hadir bersama Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Wira Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Angkatan Petugas 450, Mej Jen Dato’ Zulkapri Rahamat, Assisten Ketua Staf, Sumber Manusia, Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato; Mardzuki Muhammad, Panglima-panglima Formasi dan Pengerusi-pengerusi BAKAT di bawah naungan Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

Sementara itu, Stephen yang menjawat jawatan Panglima 1 Divisyen Infantri TDM memberitahu, beliau bangga diberi amanah selaku Panglima kedua Pemerintahan Medan Timur.

Jelasnya, beliau sedar tanggungjawab yang berat menanti untuk dirinya meneruskan kesinambungan pencapaian cemerlang yang dilakar Mohd Zaki sebelum ini.

“Saya tahu dan sedar akan tanggungjawab berat itu, tetapi saya sudah bersedia untuk memikul jawatan ini demi keamanan negara khususnya di wilayah Sarawak dan Sabah,” ujarnya lagi. — DayakDaily