Lelaki warga emas melecur, rumah didiami musnah terbakar

Anggota bomba berusaha melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran.
Advertisement

ENGKILILI, Feb 1: Seorang lelaki warga emas dilaporkan melecur pada belakangnya selepas kediaman yang didiami bersama keluarganya musnah terbakar di Sedarat Mawang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Liew Teck Ngieng, 64, mengalami luka dan melecur kira-kira 12 peratus pada bahagian belakang badannya.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.20 malam.

Advertisement

Katanya, semasa tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah satu tingkat berstruktur kekal di situ.

“Anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemadaman api, manakala semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Penghuni rumah tidak sempat menyelamatkan dokumen serta barangan penting kerana api marak dengan pantas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Keadaan rumah yang sedang terbakar.

Jurucakap sama memberitahu, operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada 12.05 tengah malam.

Katanya, mangsa yang melecur sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam siasatan,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement