Lelaki warga emas maut selepas solat Maghrib

Toyota Hilux yang melanggar mangsa.

LAWAS, Mac 23: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia menemui ajal selepas dilanggar sebuah Toyota Hilux di Jalan Merapok pada pukul 8 malam tadi.

Kejadian tersebut mengakibatkan mangsa, Mahamuddin Saleng, 55, maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan serius pada kepala dan badannya.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa difahamkan berjalan kaki pulang dari surau selepas solat Maghrib.

“Namun, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah Toyota Hilux yang datang dari arah Pekan Lawas menuju ke Merapok.

“Kejadian itu dikatakan berlaku ketika pemandu Toyota Hilux sedang mengelak dari sebuah kenderaan yang bergerak di sebelah kanan berselisih lalu melanggar mangsa di tepi jalan,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, mangsa yang tercampak kemudian mengalami kecederaan parah.

Katanya, pemandu yang berusia 22 tahun pula terus menyerah diri ke Balai Polis Sindumin.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily