Lelaki warga emas maut, kereta dipandu rempuh dinding konkrit Hospital Sentosa

Kelihatan kereta dipandu mangsa yang merempuh dinding Hospital Sentosa.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 25: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya merempuh dinding konkrit di Hospital Sentosa di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, mangsa yang berusia 76, disahkan meninggal dunia oleh doktor di hospital tersebut.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa dikatakan selesai menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, mangsa yang memandu kereta Toyota Camry kemudian secara tiba-tiba merempuh dinding konkrit hospital tersebut.

“Impak rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor hospital berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya. — DayakDaily