Lelaki warga emas maut dirempuh Toyota Hilux

Keadaan mangsa yang dirempuh Toyota Hilux.

BINTULU, Dis 17: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi tersebut telah mengakibatkan mangsa, Jalil Mustapha, 65, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Medan Jaya dari arah pusat bandar Bintulu.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, sebuah 4WD jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun tiba-tiba merempuh motosikal mangsa.

“Siasatan mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang datang arah bertentangan telah hilang kawalan lalu terbabas dan memasuk laluan bersebelahan.

“Kejadian pantas itu telah menyebabkan Toyota Hilux terbabit merempuh motosikal mangsa hingga mengakibatkan lelaki malang berkenaan tercampak dari motosikalnya lalu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, pemandu Toyota Hilux tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily