Lelaki warga emas maut digilis lori

Kelihatan mangsa yang maut digilis lori KM 31, Jalan Betong-Sarikei.

SARATOK, Julai 12: Seorang lelaki warga emas maut selepas digilis tayar lori di kawasan Bukit Berayang di KM31, Jalan Betong-Sarikei di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Abang Othman Bin Abang Saboh, 70, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati mangsa berada di belakang lori itu bagi mengawal lalu lintas selepas kenderaan dinaiki mereka kehabisan minyak.


Jelasnya, pemandu lori berusia 40 tahun kemudian meminta bantuan rakan sekerja mereka untuk menghantar minyak diesel ke situ.

“Apabila kenderaan itu masih gagal dihidupkan, pemandu lori tersebut kemudian bertindak menolak kenderaan tersebut.

“Manakala, rakan sekerja yang berusia 38 tahun kemudian berada di dalam lori itu untuk mengawal kenderaan berkenaan.

“Namun, malang menimpa lelaki warga emas itu apabila lori tersebut telah mengundur ke belakang lalu menggilis mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, insiden yang berlaku dengan pantas itu kemudian disedari oleh seorang pekerja projek lebuh raya Pan Borneo di situ.

Katanya, dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada dua lelaki berkenaan sebelum mereka terkejut melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily