Lelaki warga emas hilang di laut selama lima hari ditemui selamat


Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 18: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di laut pada Isnin lepas telah ditemui selamat.

Mangsa, Aziz Jaffar Atahar, 69, dari Kampung Jepak ditemui selamat kira-kira pukul 8.15 pagi.


Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak berkata mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan di perairan Kuala Sibuti.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Kuala Sibuti oleh nelayan sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenai penemuan mangsa.

“Mangsa selamat tiba di Kampung Kuala Sibuti pada pukul 9 pagi sebelum pasukan Maritim Malaysia mengambil mangsa balik ke Bintulu,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang selamat merakamkan gambar bersama ahli keluarga dan pasukan SAR.

Jurucakap sama menambah, pihak Maritim Malaysia Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat sepanjang operasi SAR ini dilaksanakan.

DayakDaily sebelum ini melaporkan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan hilang yang dilaporkan hilang di laut sejak 13 Mei lalu.

Berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan tidak balik ke rumah selepas keluar ke laut untuk menangkap ikan pada hari kejadian. — DayakDaily