Lelaki warga emas hilang cari sayur ditemui mati

Pasukan bomba membawa mayat mangsa keluar dari kawasan hutan.

Oleh Dean Adam

MIRI, Julai 24: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari sayur semalam, ditemui mati di kawasan hutan berhampiran Kampung Lopeng, di sini, hari ini.

Mangsa, Lai Song Kong, 72, ditemui mati oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 10.29 pagi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong, berkata jarak mangsa dijumpai ialah kira-kira 120 meter dari kereta dia yang ditemui di tepi jalan utama berdekatan SMK Lopeng.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Sebelum itu, pihak bomba menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada pukul 11.27 malam. Pasukan bomba kemudian melakukan operasi SAR sebelum menemui mangsa pagi tadi,” katanya di sini, hari ini.

Law menambah, pihak polis sudah membawa mayat mangsa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Punca kematian mangsa hanya diketahui selepas laporan bedah siasat siap dilaksanakan. — DayakDaily