Lelaki warga emas ditemui mati di tanah perkuburan Kpg Buso, Bau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

BAU, 14 Jan: Seorang lelaki warga emas ditemui mati selepas menziarah kubur mendiang ibunya di tanah perkuburan di Kampung Buso, di sini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata mangsa,62 tahun sebelum kejadian memberitahu isterinya ingin membersihkan kubur ibunya iaitu sekitar jam 8 pagi semalam.

Bagaimanapun, sehingga lewat malam, mangsa masih tidak pulang menyebabkan isteri dan anaknya pergi mencarinya.


“Mangsa belum balik sehingga malam, isterinya kemudian membawa anaknya mencari mangsa di kawasan perkuburan tersebut dan terjumpa mangsa dalam keadaan tertiarap tidak benyawa.

“Isterinya kemudian terus ke Balai Polis Bau untuk membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tindakan selanjutnya telah dijalankan di lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati tempata kejadian merupakan jalan tanah berbatu dan agak curam.

“Terdapat kesan tergelincir dan mangsa cedera di lutut dan jatuh tersembam di muka dan cedera di muka serta patah gigi.

“Mayat mangsa telah dihantar ke bilik mayat Hospital Bau untuk bedah siasat,” ujarnya.

Katanya lagi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — DayakDaily