SIBU, Jan 9: Seorang lelaki warga emas ditemukan mati selepas dipercayai tidak keluar dari sebuah rumah di Jalan Lada di sini hari ini.
Mangsa, Ngui Kwong Chaun, 65, dijumpai mati oleh pasukan polis dan bomba dalam keadaan meniarap di atas lantai kediaman tersebut kira-kira pukul 11 pagi.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sebelum itu, pihak polis telah menghubungi pihak bomba untuk bantuan membuka pintu rumah mangsa selepas pintu itu gagal dibuka.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kes tersebut pada puku 10.34 pagi sebelum sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati pintu hadapan rumah tersebut dalam berkunci sebelum mereka (pasukan bomba dan polis) bertindak memecahkan pintu itu untuk masuk ke dalam kediaman berkenaan.
“Selepas berjaya memecahkan pintu itu, pasukan polis dan bomba terkejut melihat seorang lelaki warga dalam keadaan tidak bernyawa lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap sama memberitahu, pasukan perubatan yang tiba ke lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kes tersebut.
Ujarnya, siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi. ā DayakDaily