Lelaki warga emas dilaporkan hilang

Anggota unit K9 termasuk anjing pengesan bernama Daisy kelihatan semasa operasi mencari and menyelamat.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Dis 3: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Siluk di sini semalam.

Mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Nohik Gindon, 74.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.55 malam.

Katanya, sebelum itu, anak mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan bapanya pada pukul 10 malam.

Anggota bomba sedang melakukan operasi mencari mangsa yang hilang.

“Sejurus itu, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dikatakan masih dikesan di luar rumah mereka pada pukul 1.30 petang sebelum didapati hilang,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, menyedari akan kehilangan mangsa, ahli keluarganya telah membuat pencarian di sekitar kawasan kampung dan di sekitar pekan Lundu.

Bagaimanapun katanya, usaha tersebut menemui jalan buntu sebelum mereka membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Anggota unit K9 termasuk anjing pengesan bernama Daisy kelihatan semasa operasi mencari and menyelamat.

“Operasi SAR mencari dan menyelamat yang dijalankan kini sejauh kira-kira 2 kilometer, namun mangsa masih gagal dikesan,” katanya.

Tiga orang anggota dari Unit K9 diketuai oleh PBK II Kenneth Masir turut terlibat dalam operasi SAR tersebut. ā€” DayakDaily