Oleh Dean Adam
KAPIT, April 6: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang dan lemas selepas dipercayai terjatuh di Sungai Rejang di sini hari ini.
Mangsa yang dilaporkan hilang dikenalpasti sebagai Bansa Judan, berusia 65 tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.30 pagi.
Jelasnya, sejurus selepas itu, sepasukan anggota bomba dari BBP Kapit diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba seterusnya menjalankan kaedah ‘water surface searching’ dan juga ‘grappling iron’ bagi mencari mangsa.
“Bagaimanapun, setakat pukul 4.30 petang tadi mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian telah ditangguhkan dan bersambung keesokan hari,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, selain pasukan bomba, penduduk kampung turut membantu dalam operasi berkenaan.
“Maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily