Lelaki warga emas cedera, kereta berlanggar lori di Jalan Puncak Borneo

Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan.

KUCHING, 12 Jan: Seorang lelaki warga emas cedera selepas kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah lori berhampiran Kampung Karu, Jalan Puncak Borneo.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.37 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi lapor kemalangan melibatkan sebuah kereta serta lori dan terdapat seorang mangsa yang merupakan pemandu kereta mengalami kecederaan namun tidak tersepit.

“Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa (lelaki berusia 72 tahun) dari dalam kereta dan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya.

Pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pasukan Bomba kemudian pulang ke balai selepas memastikan keadaan benar-benar selamat di lokasi. — DayakDaily