BINTULU, 29 Ogos: Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di sungai Jelalong Tubau, di sini telah ditemui mati hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mayat mangsa dijempai tersangkut pada ranting kayu sekitar jam 9 pagi tadi.
Katanya, lokasi mayat mangsa ditemui ialah kira-kira dua kilometer ke hilir sungai dari tempat perahu mangsa karam.
“Anggota Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bergerak ke lokasi penemuan untuk mengambil mangsa.
“Selepas pengecaman dan pengesahan dibuat oleh rakan mangsa, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini ditamatkan pada jam 11.25 pagi.
Difahamkan bot dinaiki mangsa karam semasa menyeberang sungai dengan membawa barang dari Sekolah Kebangsaan Kuala Kebulu.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi itu kemudian terus dilaporkan kepada polis dan bomba untuk operasi SAR. — DayakDaily