BKSS 9.0: Pelaksanaan Variasi Harga 2.0 lonjakkan kembali sektor pembinaan

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 29 Ogos: Langkah Kerajaan Sarawak mengumumkan pelaksanaan Variasi Harga (VOP) 2.0 diyakini mampu melonjakkan kembali sektor pembinaan di Sarawak, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.

VOP 2.0 membabitkan 25 bahan bahan binaan tambahan iaitu 15 bahan tambahan untuk kerja-kerja pembinaan dan 10 bahan tambahan untuk kerja-kerja kejuruteraan.

Ia bagi menampung kenaikan harga bahan-bahan binaan untuk semua projek kerajaan negeri.


“VOP 2.0 akan membantu kontraktor di Sarawak berdepan kenaikan harga bahan binaan dan membantu mengelakkan kontraktor kecil daripada gulung tikar.

“Seterusnya pelaksanaan VOP 2.0 di Sarawak dengan tanggungan kos RM700 juta oleh kerajaan negeri ini juga, akan membantu memastikan projek kerajaan tidak terjejas serta dapat disiapkan mengikut jadual, ” kata Fadillah dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau yang juga MP Petra Jaya, pandemik Covid-19 telah menyebabkan kenaikan harga bahan binaan di peringkat global yang antara lain telah menjejaskan aktiviti pemprosesan sehingga menyebabkan kos bahan mentah meningkat.

Katanya, perubahan dasar di peringkat luar Negara seperti China yang memutuskan untuk tidak mengeksport beberapa barangan juga menyumbang kepada kenaikan harga.

“Dalam pertemuan saya dengan pemain dalam sektor pembinaan khususnya kontraktor kontraktor di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, isu kenaikan bahan binaan adalah antara masalah utama yang disuarakan.

“Ianya amat membebankan mereka sehingga menjejas pelaksanaan projek,” ujar Fadillah.

Pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melibatkan peruntukan RM1 bilion.

BKSS 9.0 merangkumi lima bantuan itu akan dilaksanakan sepanjang enam bulan terakhir tahun ini bermula Julai hingga Disember 2022.

Daripada lima pakej berkenaan, VOP 2.0 merupakan satu pakej baharu diperkenalkan.

Empat pakej sedia ada yang dikekalkan ialah diskaun bil elektrik, diskaun bil air, diskaun Taksiran cukai pintu serta diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai. — DayakDaily