Lelaki tersepit dalam MPV terbabas di Bintulu

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BINTULU, 17 Jun: Seorang lelaki mengalami kecederaan di kaki selepas terlibat kemalangan kendiri berhadapan pejabat Ibraco, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.13 pagi tadi.

Katanya, dilaporkan seorang lelaki berusia 25 tahun masih tersepit di dalam kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) tersebut.

“Komander melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah MPV dan terdapat seorang mangsa masih tersepit di bahagian kakinya di dalam kenderaan tersebut.

“Pasukan bomba bertindak menggunakan rescue tool mengeluarkan mangsa terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian beredar dari lokasi kejadian selepas selesai tugas-tugas menyelamat. — DayakDaily