SERIAN, 23 Nov: Seorang lelaki tercedera selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Kuching-Serian hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.13 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kejadian selepas dilaporkan terdapat mangsa tersepit dalam kenderaan.
“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, mereka terus bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan tanpa menggunakan rescue tool dan memberikan rawatan awal kepada mangsa dengan memasang cervical collar.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasukan bomba kemudian membersih permukaan jalan dari sisa kemalangan.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.14 petang.
Anggota Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas memastikan keadaan benar-benar selamat. — DayakDaily