Agong nasihat GPS terima kerajaan perpaduan – Fadillah

Fadillah hadir di Kompleks DUN hari ini (23 Nov).

KUCHING, 23 Nov: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menerima penubuhan kerajaan perpaduan, kata Ketua Whip GPS Dato Sri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga MP Petra Jaya pagi tadi telah mengetuai rombongan wakil GPS bertemu Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

Perjumpaan tersebut adalah berkaitan penubuhan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.


“Tuanku telah memberi nasihat bahawa hasratnya dalam keadaan tiada seorang pun mendapat majoriti mudah sokongan menjadi Perdana Menteri, maka beliau berhasrat kalau dapat untuk kita berbincang mempertimbangkan sama ada boleh ditubuhkan kerajaan perpaduan.

“Dan sebab itu Tuanku memberi nasihat, pandangan Baginda mengapa perlunya diwujudkan kerajaan perpaduan,” kata Fadillah ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah beliau, hasrat Seri Paduka Baginda itu telah disampaikan kepada Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, perkara tersebut telah dijelaskan menerusi kenyataan bahawa GPS memang berhasrat untuk menubuhkan kerajaan bersama dengan beberapa parti.

“Dalam masa yang sama, kita akan patuh kepada apa jua keputusan yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda.

“Jika Seri Paduka Baginda mahukan kerajaan perpaduan, kita akan akur, kita akan setuju,” katanya. — DayakDaily