Lelaki terjun sungai ditemui mati lemas

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa.
Advertisement

LUNDU, Mei 27: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjun ke dalam Sungai Batang Kayan semalam ditemui mati lemas di sungai berkenaan hari ini.

Mangsa, Mohamad Nirrahim Hipni, 29, dijumpai oleh abangnya sendiri di tepi jeti rumah mereka kira-kira pukul 1.24 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Chong Bui Chyan berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira
3 kilometer dari jeti mangsa dilaporkan terjun dalam kejadian awal pagi semalam.

Advertisement

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.20 petang,” katanya ketika dihubungi hari tadi.

DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Batang Kayan dalam satu kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Lundu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.37 pagi.

Sejurus menerima laporan itu, sepasukan enam anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Maklumat dari rakan mangsa menyatakan ada ternampak seorang mangsa lelaki telah terjun ke dalam Sungai Batang Kayan di Pangkalan Haji Mahyan. — DayakDaily

Advertisement