Lelaki terjatuh di pusat beli belah di Jalan Wan Alwi dilaporkan meninggal dunia

Mangsa diberikan bantuan kecemasan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke HUS

By Juetila Ozzy

KUCHING,Nov 21: Usaha menyelamat seorang lelaki yang dikatakan terjatuh dari aras tiga sebuah pusat beli belah di Jalan Wan Alwi, di sini tidak berjaya apabila dia disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata mangsa berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan parah di dalam kepala dan patah tulang kaki kiri.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sebelum kejadian kelihatan murung sebelum dipercayai terjatuh dari aras tiga bangunan berkenaan iaitu sekitar jam 1.25 petang.

“Menurut keluarganya, mangsa masih bujang dan merupakan seorang orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Jelasnya, tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. — DayakDaily