Lelaki temui ajal, Toyota Hilux terlibat kemalangan sebelum terbakar

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dari dalam Toyota Hilux.
Advertisement

BINTULU, Sept 4: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui mati rentung selepas Toyota Hilux yang dipandunya merempuh besi penghadang jalan sebelum kenderaan itu terbalik dan terbakar di Jalan Samalaju di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Ah Heng, manakala rakannya, Alwi Kamarau, 42, dilaporkan cedera ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mostapha Wasli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari.

Advertisement

Katanya, selepas menerima maklumat kejadian, sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Bintulu telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.

“Lima anggota bomba dari BBP Samalaju juga berada di lokasi kejadian untuk membantu operasi tersebut.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah Toyota Hilux dalam keadaan terbalik dan terbakar sebelum operasi dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mostapha memberitahu, operasi pemadaman terus dijalankan sehingga api padam sepenuhnya dan kerja-kerja menyelamat terus dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, kebakaran tersebut telah memusnahkan 100 peratus kenderaan itu, manakala mangsa yang tersepit kemudian dibawa keluar.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat,” katanya. — DayakDaily

Advertisement