Penduduk Kpg Dagang gempar dengan penemuan seekor buaya sepanjang 3m

Penduduk kampung tidak melepaskan peluang merakamkan gambar dengan seekor buaya yang ditangkap di Sungai Kampung Dagang.

MARUDI, Sept 4: Penduduk di Kampung Dagang di sini gempar dengan penemuan seekor buaya di sungai berhampiran kampung berkenaan di sini hari ini.

Reptilia sepanjang kira-kira 3 meter itu ditangkap kira-kira pukul 5 pagi selepas memakan umpan kail pancing yang dipasang penduduk kampung berkenaan.

Penduduk kampung yang ingin dikenali sebagai Sharbini berkata, sebelum menangkap buaya itu, dia telah memasang pancing di tebing sungai kampung tersebut pada pukul 4 petang semalam.


Katanya, dia memasang pancing untuk menangkap sang bedal itu kerana kebelakangan ini ayam peliharaannya serta ayam kepunyaan penduduk kampung sering hilang.

“Pagi tadi, apabila saya pergi memeriksa pancing, saya terkejut melihat objek besar tersangkut pada mata kail.

“Apabila mendekati objek itu, rupa-rupanya ia merupakan seekor buaya. Saya kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk menangkap reptilia berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung berkenaan kini boleh menarik lega apabila sang bedal yang sering muncul di permukaan sungai telah ditangkap.

Katanya, sebelum ini mereka tinggal dalam kerisauan memandangkan keselamatan tidak terjamin ekoran kehadiran buaya di sungai berkenaan.

“Sebelum ini, kami hendak mandi pun takut di sungai kerana bimbang dengan kehadiran sang bedal.

“Jadi, dengan tertangkapnya buaya itu, penduduk kampung kini boleh rasa selamat sekiranya berada berhampiran sungai di sini,” ujarnya. — DayakDaily