Lelaki temui ajal selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta

Gambar komposit menunjukkan lokasi kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Dis 23: Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Batu 12, Jalan Puncak Borneo di sini hari ini.

Bagaimanapun, setakat ini identiti mangsa yang meninggal dunia belum dikenal pasti lagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Honda C100 yang ditunggang mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga FLX. Sebuah lagi kereta juga terbabas apabila cuba mengelak kemalangan yang berlaku.

Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan, manakala, dua pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak sebelum disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan unit kecemasan di situ.

“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti disebabkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, usaha mengesan identiti dan waris mangsa sedang dijalankan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily