Lelaki temui ajal dihempap pokok rumbia

Kelihatan mangsa dihempap sebatang pokok rumbia di Kampung Tanam, Dalat.

DALAT, Julai 4: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal selepas dihempap sebatang pokok rumbia yang ditebangnya dalam satu kejadian di Kampung Tanam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.05 pagi itu, lelaki yang dikenali sebagai Ah Kuang, 40-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada anggota badannya.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang menebang pokok rumbia di hadapan rumahnya.


Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila pokok rumbia yang ditebangnya secara tiba-tiba tumbang sebelum menimpa lelaki berkenaan.

“Mangsa dikatakan tidak sempat mengelak lalu dihempap oleh pokok rumbia berkenaan.

“Ahli keluarga mangsa yang menyedari kejadian kemudian cuba membantu sebelum menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, apabila tiba di lokasi berkenaan, pasukan bomba mendapati mangsa yang dihempap sudah diangkat oleh penduduk kampung.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

“Pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan kerja-kerja memotong pokok rumbia dan pembersihan di lokasi kejadian,” katanya lagi. — DayakDaily