Lelaki tahan sakit, cincin tersekat pada jari

Anggota bomba berusaha memotong cincin pada jari mangsa.

MIRI, April 6: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas cincin tembaga yang dipakai tersekat pada jarinya dalam satu kejadian semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu pada mulanya telah pergi ke Hospital Miri untuk bantuan menanggalkan cincin yang tersekat pada jarinya.

Sebelum itu, lelaki berkenaan telah cuba pelbagai cara untuk menanggalkan cincin tersebut, namun gagal.


Dia kemudian ke hospital bagi mendapatkan bantuan, tetapi usaha petugas perubatan juga menemui buntu.

Pihak hospital kemudian menghubungi pihak bomba untuk melakukan khidmat khas memotong cincin tersebut.

Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati lelaki itu masih menahan kesakitan.

Pasukan bomba kemudian bertindak memotong cincin tersebut dengan menggunakan peralatan khas.

Operasi memotong cincin tersebut tamat dalam tempoh kira-kira lima minit.

Mangsa kemudian menerima rawatan susulan daripada petugas perubatan sebelum dia dibenarkan pulang. — DayakDaily