Kanak-kanak lelaki cemas, cincin tersekat pada jari

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan cincin yang tersekat pada jari mangsa.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 13: Seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik mencemaskan apabila cincin keluli yang dipakainya tersekat dalam satu kejadian malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu mengakibatkan jari kanak-kanak lelaki tersebut bengkak dan berdarah.


Jurucakap bomba dan penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.42 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati cincin yang dipakai kanak-kanak berkenaan masih lagi tersekat.

“Sebelum itu, ibu bapa kanak-kanak tersebut cuba untuk mengeluarkan cincin berkenaan, namun menemui jalan buntu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak menggunakan peralatan khas untuk memotong cincin keluli bagi mengeluarkan cincin berkenaan.

Katanya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan cincin daripada jari mangsa.

“Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 9.50 malam,” ujarnya. — DayakDaily