SELANGAU, Jun 24: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam berjaya ditemui dalam keadaan selamat di kawasan hutan di Rumah Panjang Upong Medan di Sungai Pelugau dekat sini hari ini.
Mangsa, Raymond Upong, 35, ditemui pada pukul 12.43 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Mamat Rhayi berkata, semasa ditemui, mangsa masih berada dalam keadaan sihat, namun agak keletihan dan lemah.
Katanya, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal dan minuman serta makanan kepada mangsa.
“Anggota bomba kemudian membawa mangsa balik ke rumah panjang dari lokasi penemuan lelaki itu iaitu kira-kira 2 kilometer dari situ.
“Berdasarkan keterangan mangsa mengakui tersesat di kawasan hutan di sekitar rumah panjang di situ dan gagal mencari jalan pulang,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mamat, operasi SAR yang memasuki hari kedua itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.30 petang. — DayakDaily