Lelaki patah kaki, Toyota Hilux dipandu terbalik

Pasukan bomba bertindak membantu mangsa.

Oleh Dean Adam

SARATOK, Mac 11: Seorang lelaki berdepan dengan detik mencemaskan selepas kenderaan Toyota Hilux yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik di Jalan Saratok-Roban di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu mengakibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun cedera dan patah kaki kirinya.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.50 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan terbalik.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu Toyota Hilux yang tersepit,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, penumpang kenderaan berkenaan pula hanya cedera ringan dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum itu.

“Mangsa yang mengalami kepatahan kaki kiri seterusnya dibawa ke Hospital Saratok bagi menerima rawatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.27 tengah hari,” katanya. — DayakDaily