Lelaki parah dibelasah di sebuah pusat hiburan

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Sept 25: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia cedera parah selepas dibelasah dalam satu kejadian di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah di sini awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berumur 36 tahun dijumpai dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut sumber, mangsa ditemui oleh orang awam dalam keadaan terbaring di luar pusat hiburan berkenaan.

Katanya, mangsa dikatakan cedera selepas dipukul oleh sekumpulan individu yang belum lagi diketahui.

“Sebelum itu, mangsa dikatakan sedang berhibur di dalam pusat hiburan berkenaan sebelum dipercayai bertikam lidah dengan suspek dan berlakunya pergelutan antara mereka.

“Suspek dikatakan melarikan diri sebaik menyedari mangsa dalam keadaan cedera parah dengan berlumuran darah,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan lanjut di pusat perubatan swasta di sini.

“Buat masa ini, pihak polis masih mengesan siapakah suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan itu.

“Polis juga memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut agar membuat laporan untuk membantu siasatan kes ini,” ujarnya. — DayakDaily