Oleh Dean Adam
KUCHING, Nov 16: Seorang lelaki parah selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap sebuah lori membawa muatan tanah di persimpangan lampu isyarat di Taman Malihah, Matang, di sini hari ini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 11.33 pagi apabila sebuah lori jenis 10 tan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik dan menghempap mangsa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata kejadian sama turut mengakibatkan muatan tanah yang dibawa lori berkenaan menghempap dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Kancil.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba, komander operasi melaporkan mangsa yang menunggang sebuah motosikal telah dihempap sebuah lori yang terbalik.
“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa motosikal yang dihempap di bahagian kepala lori dengan menggunakan peralatan hidrolik,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, pihak bomba mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.
Katanya, sejurus dikeluarkan, mangsa telah diberi rawatan awal oleh petugas perubatan sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala pemandu dua kereta serta penumpang yang terlibat dengan kejadian itu tidak mengalami kecederaan apabila berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya. — DayakDaily