Lelaki panjat pokok selamatkan diri, gara-gara air pasang besar

Mangsa berjaya diselamatkan.

KUCHING, 12 Feb: Seorang lelaki bertindak memanjat pokok tinggi untuk menyelamatkan diri apabila terkandas akibat air pasang besar di Kampung Semariang Pinggir, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya mendapat laporan berhubung kejadian pada jam 7.27 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya terus dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, penduduk kampung memberitahu mangsa telah dapat dihubungi dan dia memaklumkan telah memanjat pokok tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum dibawa ke seberang sungai dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa berusia 33 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak keluarga.

Difahamkan mangsa masuk ke dalam hutan untuk mengambil kayu pada jam 12 tengah hari dan terkandas akibat air pasang besar. — DayakDaily