Oleh Dean Adam
BINTULU, Apr 2: Seorang lelaki nyaris maut selepas kenderaan Toyota Hilux yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan lori kargo di Batu 31, Simpang Bakun, Samalaju di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 48 tahun dilaporkan tersepit di dalam kenderaannya.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 12.36 tengah malam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori kargo tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba kemudian membuat ‘size up’ dengan menggunakan ‘telescopic ram’, ‘ram support’ dan ‘spreader’ untuk meregang bahagian pintu hadapan sebelah kanan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah selesai membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan yang wujud serta keadaan selamat, operasi ditamatkan pada pukul 1.20 pagi,” jelasnya. — DayakDaily