Lelaki nyaris maut kepala dan lengan terkena tembakan ‘liar’

Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Advertisement

SRI AMAN, Julai 24: Seorang lelaki nyaris maut apabila terkena tembakan ‘liar’ yang dilepaskan oleh individu yang belum dikenalpasti dalam satu kejadian di Temawai Tebok Sawai Engkilili dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia 47 tahun mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala dan lengannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, pihak polis Engkilili hanya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9 malam.

Advertisement

Katanya, laporan polis berhubung kejadian itu dilakukan oleh seorang petani dan mendakwa rakannya telah terkena tembakan dan mengalami kecederaan.

“Berdasarkan laporan diterima, petani bersama mangsa dan dua rakannya sedang keluar menangkap katak di tebing sungai Temawai Tebok Sawai Engkilili.

“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba rebah dan mengerang kesakitan selepas terkena tembakan ‘liar’ yang terkena pada bahagian kiri dan lengannya,” katanya di sini hari ini.

Denis menambah, panik melihat mangsa, rakan-rakan lelaki berkenaan kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Merindun untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambah Denis, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sri Aman sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini, polis masih menyiasat dari arah mana tembakan itu dilepaskan dan mengesan si penembak tersebut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement