Lelaki nyaris maut dihempap pokok rumbia

Anggota penyelamat membawa mangsa keluar dari hutan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MUKAH, Dis 31: Seorang lelaki nyaris maut apabila dihempap sebatang pokok rumbia yang ditebangnya di Kampung Sesok di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, mangsa yang berusia 58 tahun mengalami kecederaan pada anggota badannya.

Advertisement

Jurucakap bomba dan penyelamat Mukah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.44 pagi.

Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati mangsa dalam keadaan dihempap oleh batang pokok rumbia.

“Anggota bomba segera memotong batang rumbia itu untuk mengeluarkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa.

Katanya, selepas itu anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari hutan dengan menggunakan pengusung memandangkan mangsa mengadu tidak dapat berjalan akibat kecederaan yang dialami.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya. – DayakDaily

Anggota penyelamat membawa mangsa keluar dari hutan.

Advertisement