Lelaki miliki senjata tiruan ditangkap di sebuah pusat beli belah di Kuching

Senjata tiruan yang dipercayai milik suspek.

KUCHING, 25 Jun: Seorang lelaki ditangkap selepas didapati memiliki senjata serupa senapang dipercayai tiruan di sebuah pusat membeli belah di Jalan Song, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek dipercayai pemilik premis menjual senjata tiruan tersebut ditangkap dalam satu operasi oleh Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Persenjataan IPD Kuching sekitar jam 4.20 petang.

Katanya, tangkapan dibuat selepas anggota operasi mendapati terdapat lapan laras senjata tiruan dan terdapat 101 bungkus amunisi yang disyaki menyalahi undang-undang.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily