Lelaki miliki dua rekod jenayah lampau diberkas terlibat kegiatan judi dalam talian di Batu Kitang

Pasukan serbuan melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.

KUCHING, 2 Dis: Kegiatan perjudian dalam talian terus dibanteras dengan seorang lagi lelaki dipercayai ejen tambah nilainya ditangkap dalam satu serbuan di Batu Kitang, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Biawak, Lundu.

Beliau memberitahu, suspek semasa serbuan dijalankan iaitu sekitar jam 2.30 petang, didapati sedang leka menjalankan kegiatan perjudian tersebut.


“Apabila sampai di lokasi, didapati suspek berada di dalam bilik tersebut sedang menjalankan aktiviti judi dalam talian.

“Suspek kemudian ditangkap dan turut dirampas ialah telefon bimbit, satu unit modem TP-Link, kalkulator, kertas putih bertulis digit nombor dan wang tunai berjumlah RM260,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil juga, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 324 dan 385 Kanun Keseksaan di Lundu,” katanya.

Tegasnya juga, pihaknya komited dalam membanteras kegiatan judi dalam talian dan penjualan loteri haram.

“Sekiranya mempunyai maklumat berhubung kegiatan ini, sila laporkan terus kepada kami, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. — DayakDaily