Lelaki melecur dalam kebakaran rumah di Jalan Bako

Keadaan di dalam bilik tidur tersebut yang terbakar.

KUCHING, 2 Jan: Seorang lelaki melecur di muka, tangan dan kaki ketika dipercayai berusaha memadam kebakaran di rumahnya di Taman Siol Ria, Jalan Bako awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran melibatkan bilik tidur di tingkat atas rumah tersebut dan kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2.35 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik selepas laporan diterima.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah bilik tidur dan tiada operasi pemadaman dilakukan oleh pihak bomba kerana api telah dipadamkan sebelum bomba sampai.

“Tetapi terdapat seorang mangsa iaitu penghuni rumah telah melecur pada anggota badan di muka, pergelangan tangan serta kaki dan dianggarkan melecur 30 peratus pada badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang melecur berusia 54 tahun dan telah diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS Bomba.

Seterusnya mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.15 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan. ― DayakDaily