Lelaki melecur cuba padam kebakaran

Keadaan api yang marak membakar sebuah kenderaan dan rumah panjang.

Oleh Dean Adam

LAPOK, Jan 8: Seorang lelaki melecur apabila kediaman yang didiaminya di RH Pabri, Jalan Beluru Lapok berdekatan SK Long Lapok musnah terbakar, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu turut mengakibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux musnah terbakar 100 peratus.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.42 tengah malam.

Jelas beliau, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit.

“Apabila tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi, pasukan bomba terus melakukan operasi memadam kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Mengulas lanjut, Law memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa cedera disebabkan dia cuba untuk memadam kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba.

Katanya, lelaki berkenaan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. ā€” DayakDaily