KUCHING, Mei 4: Seorang lelaki maut apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu masing-masing sebuah Mitsubishi Triton, Toyota Avanza dan Toyota Vios.
Kemalangan tersebut telah mengakibatkan penumpang Mitsubishi Triton yang dikenalpasti sebagai Law Teck Chin, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mitsubishi Triton dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Toyota Avanza dan Toyota Vios.
Katanya, kesan perlanggaran itu mengakibatkan penumpang Mitsubishi Triton terbabit mengalami kecederaan parah pada anggota badannya sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Pemandu Mitsubishi Triton yang berusia 31 tahun dan dua lagi pemandu kereta lain hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke HUS untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Alexson menambah, siasatan awal mendapati cuaca hujan semasa kejadian itu berlaku.
Katanya, jalan raya yang licin kemungkinan mengakibatkan pemandu Mitsubishi Triton itu gagal mengawal kenderaan tersebut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily