Lelaki maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux.

MIRI, Sept 12: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia terkorban selepas kenderaan Toyota Hilux yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Song di sini.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam mengakibatkan mangsa, Jong Seng Hua, 38, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kenderaan itu seorang diri dikatakan dalam perjalanan menuju ke Miri dari Bekenu.


Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing merempuh bahu jalan.

“Impak kuat daripada rempuhan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaaan lain terlibat dalam kemalangan itu.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily