SIBU, Jan 1: Perjalanan pulang seorang lelaki ke rumahnya selepas meraikan sambutan ambang tahun baharu tengah malam tadi berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Lilin, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 pagi itu, mangsa, Lim Hood Shang, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit selepas Toyota Rush yang dipandunya merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kenderaan itu seorang diri dikatakan dalam perjalanan dari arah pusat bandar Sibu menuju ke Jalan Lilin di sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di tempat kemalangan, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok di bahu jalan.
“Rempuhan kuat tersebut telah mengakibatkan bahagian depan kenderaan terbabit remuk teruk.
“Mangsa pula tersepit di tempat duduk pemandu dan dalam keadaan tidak bernyawa lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily