Lelaki maut selepas kereta rempuh pokok

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas kemalangan tersebut.

MIRI: Seorang lelaki terbunuh selepas keretanya melanggar sebatang pokok berhampiran Taman Awam, di sini awal pagi tadi.

Mangsa ialah Sanny Tuah berusia 40 tahun dan berasal dari Kampung Tiris Bekenu.

Difahamkan mangsa semasa kejadian memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dari arah bandar Miri menuju ke Lapangan Terbang Miri iaitu sekitar jam 4.52 pagi.


“Setiba di tempat kejadian, mangsa disyaki gagal mengawal keretanya lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh sebatang pokok.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan pihak Bomba.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” kata sumber.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Sarawak DSP Bingkok John mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan seterusnya.