Lelaki maut selepas kereta berlanggar dengan lori tentera

Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas kemalangan tersebut.

KUCHING: Seorang lelaki maut selepas dipercayai gagal mengawal keretanya sehingga terbabas lalu berlanggar dengan sebuah lori tentera di Jalan Kuching Ranger Depot, Batu 7 di sini pagi tadi.

Mangsa ialah Muhammad Hamzah Haris Saiffudin berusia 20 tahun dan berasal dari Muara Tuang, Kota Samarahan.

Timbalan Ketua Polis Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil sekitar jam 7.45 pagi.


Lori yang berlanggar dengan kereta mangsa.

“Lori Hicom Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari arah Kota Sentosa bertembung dengan sebuah kereta Kancil yang tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa yang cedera parah di kepala dan dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya sebentar tadi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.