SONG, Feb 19: Seorang lelaki maut selepas bertarung nyawa lebih dua jam setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Hilux di KM1.1, Simpang Empat berhampiran Jambatan Katibas di sini hari ini.
Mangsa, Dennis Stephen Kale, 51, disahkan meninggal dunia pada pukul 1.05 petang di Klinik Kesihatan Song.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum itu, mangsa terlibat dalam nahas jalan raya pada kira-kira pukul 10.45 pagi.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun gagal mengawal kenderaannya lalu menyebabkan motosikal mangsa melanggar kenderaan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, Toyota Hilux yang datang dari arah Kapit menuju ke Jalan Temalat Song manakala motosikal dari arah Pekan Song menuju ke arah Takan.
“Pemandu Toyota Hilux dipercayai gagal berhenti di simpang menyebabkan mangsa yang datang dari arah Pasar Song melanggar kenderaan berkenaan di sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, orang awam yang kebetulan melalui jalan berkenaan kemudian menghubungi pihak paramedik untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun katanya, selepas lebih dua jam mendapatkan rawatan kecemasan di klinik, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily